SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menjunjung kebijaksanaan dan ketegasan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam menangani kemelut politik serta pentadbiran negeri yang berlarutan hampir empat bulan.
Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan berkata, perkembangan terkini membuktikan kepentingan semua pihak menghormati kedudukan dan kuasa Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
“Pakatan Harapan Negeri Sembilan menjunjung kasih kebijaksanaan dan ketegasan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam menangani kemelut politik serta pentadbiran Negeri Sembilan.
“Perkembangan terkini membuktikan betapa pentingnya semua pihak menghormati kedudukan dan kuasa DYMM Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, selepas hampir empat bulan negeri dibelenggu pertikaian politik, keutamaan ketika ini adalah memastikan segala titah Tuanku dipatuhi supaya pentadbiran negeri kembali berfungsi dengan teratur.
Dalam pada itu, PH Negeri Sembilan menegaskan pendiriannya bahawa tindakan kepimpinan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) sejak awal krisis berkenaan sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar.
Katanya, pendirian itu berasaskan tindakan kerajaan BN-PN yang secara kolektif menerima proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebelum menarik balik keputusan serta surat yang dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu.
“Jangan sesekali perbuatan yang dianggap derhaka ini berulang, apatah lagi oleh mereka yang sudah mengangkat sumpah untuk mempertahankan institusi negeri dan mematuhi undang-undang,” katanya.
PH Negeri Sembilan berkata, kemelut yang bermula dengan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan akhirnya berlanjutan menjadi pertikaian sesama kepimpinan BN-PN sendiri.
Menurutnya, perebutan jawatan Menteri Besar, pertikaian sokongan ADUN serta kegagalan menyelesaikan pembentukan barisan Exco selepas hampir empat bulan menimbulkan persoalan mengenai penyelesaian sebenar yang diberikan kepada rakyat.
Selain itu, PH Negeri Sembilan turut membangkitkan kebimbangan terhadap kesan ketidaktentuan politik berkenaan kepada ekonomi dan pentadbiran negeri, termasuk risiko gangguan kesinambungan dasar, keyakinan pelabur serta pelaksanaan program rakyat.
Katanya, ketidaktentuan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 juga perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan gangguan peruntukan dan risiko terhentinya fungsi pentadbiran tertentu.
Sehubungan itu, PH Negeri Sembilan menggesa kepimpinan BN-PN menjadikan perkembangan terkini sebagai pengajaran dengan menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar, mematuhi titah Tuanku dan mengembalikan tumpuan kepada tanggungjawab mentadbir negeri.
Malah, katanya, sekiranya kemelut politik kembali berulang sehingga kerajaan tidak lagi mampu berfungsi dengan stabil, pilihan mengembalikan mandat kepada rakyat wajar dipertimbangkan melalui proses perlembagaan.


