
DARO – Pembangunan sektor pendidikan terus diberikan keutamaan dalam usaha membina modal insan serta mencorakkan masa depan generasi muda di luar bandar tanpa meminggirkan keperluan infrastruktur asas lain.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penyaluran peruntukan serta tumpuan terhadap bidang pendidikan amat penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki sahsiah dan akhlak terpuji berteraskan penghayatan al-Quran.
Menurutnya, falsafah pendidikan masa kini menuntut keseimbangan antara penguasaan ilmu pengetahuan dengan pembentukan jati diri yang jujur, amanah serta menghormati orang tua.
“Selagi saya menggalas amanah sebagai wakil rakyat, soal pendidikan tetap menjadi keutamaan kerana kita sedang mencipta masa depan anak-anak kita supaya mereka berjaya menjadi doktor, jurutera, guru, anggota keselamatan, mahupun pemimpin pada masa hadapan.
“Bukan bermakna projek infrastruktur diketepikan, namun kita mengimbangi kedua-duanya dengan memberi penekanan utama terhadap pendidikan demi masa depan generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tebaang di Masjid Al-Umran, Kampung Tebaang pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Johnie berpesan agar pencapaian khatam al-Quran tidak terhenti setakat di bangku sekolah, sebaliknya diteruskan melalui latihan bacaan bertajwid serta penghayatan maksud ayat suci berkenaan.
Beliau berkata, al-Quran merupakan petunjuk lengkap yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk hubungan sesama manusia, kekeluargaan, urusan muamalah dan kepimpinan.
Pada masa sama, beliau menyeru penduduk setempat supaya terus mengimarahkan Masjid Al-Umran yang baru beberapa bulan digunakan bukan sekadar untuk ibadah solat lima waktu.
Sebaliknya, beliau mahu masjid berkenaan turut dijadikan pusat penyatuan komuniti dan penganjuran majlis ilmu selaras dengan maksud namanya yang membawa erti kemakmuran serta peradaban.


