
SANDAKAN – Rakyat diminta bertenang dan bersabar berikutan gangguan bekalan elektrik yang melanda Pantai Timur Sabah ketika ini, namun Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) diharap mengambil tindakan segera bagi menangani masalah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai (Sg) Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa berkata, gangguan itu memberi kesan kepada kehidupan rakyat termasuk golongan peniaga yang terjejas dengan keadaan berkenaan.
“Kita berharap agar rakyat bertenang dan bersabar tetapi pada masa yang sama SESB mengambil tindakan segera.
“Saya yakin pihak SESB tidak akan duduk diam sebaliknya akan mengambil langkah untuk menangani masalah itu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
SESB dalam kenyataannya memaklumkan bahawa susulan insiden menara penghantaran T313, bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah kini bergantung kepada kapasiti penjanaan setempat yang terhad.
Tinjauan mendapati catuan bekalan elektrik mula dilaksanakan sekitar jam 6 petang pada Khamis.
Hazem berkata, catuan bekalan perlu dilaksanakan secara bergilir bagi membolehkan lebih ramai pengguna menerima bekalan elektrik, selain memastikan kestabilan sistem dan mengelakkan gangguan.
Dalam pada itu, set janakuasa bergerak (genset) turut digerakkan ke lokasi penting seperti hospital, sekolah dan balai polis bagi memastikan perkhidmatan kritikal kepada masyarakat dapat diteruskan.
Sabah Electricity juga terus memanfaatkan segala sumber penjanaan yang tersedia bagi meningkatkan jumlah bekalan elektrik yang dapat disalurkan kepada pengguna.

