
KALAKA – Penyediaan infrastruktur asas yang menyeluruh melibatkan kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih serta sistem telekomunikasi menjadi keutamaan Mohamad Duri sekiranya kembali diberikan mandat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak itu berkata, kawasan Kalaka masih memerlukan pembangunan kemudahan asas berkenaan selain memastikan keperluan penduduk setempat terus diberi perhatian.
Menurutnya, sepanjang tempoh empat tahun lapan bulan menggalas mandat pada penggal lalu, beberapa pembangunan telah dilaksanakan, namun masih terdapat kawasan yang memerlukan perhatian lanjut berikutan kos pelaksanaan yang tinggi serta projek yang masih dalam perancangan kerajaan.
“Alhamdulillah, beberapa pembangunan telah dilaksanakan termasuk pembinaan jalan pertanian, naik taraf rumah panjang, jalan lorong dan sistem perparitan di kampung.
“Pembinaan dewan serta usaha menaik taraf prasarana sekolah di seluruh kawasan DUN Kalaka juga telah dan akan diteruskan mengikut keperluan,” katanya.
Mengulas pencalonannya semula, Mohamad berkata, amanah yang diberikan oleh kepimpinan parti untuk terus mewakili GPS di kerusi tersebut akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan masyarakat setempat.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kepimpinan PBB Sarawak atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk sekali lagi bertanding di DUN Kalaka,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan mengutamakan kejujuran, tanggungjawab serta kesediaan mendengar setiap permasalahan penduduk tanpa mengira latar belakang sekiranya kembali dipilih.
“Saya tidak menjanjikan segala-galanya dapat diselesaikan dalam sekelip mata, tetapi saya berjanji akan terus bekerja keras, berani menghadapi cabaran dan tidak melupakan rakyat yang telah memberikan sokongan.
“Sekiranya diberikan mandat sekali lagi, saya akan berusaha sedaya upaya untuk membawa lebih banyak manfaat dan pembangunan kepada seluruh masyarakat di kawasan DUN Kalaka,” katanya lagi.



