
KUCHING – Kepercayaan yang diberikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada Awang Nashfarini Awang Sarbini untuk mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu digalas.
Nashfarini berkata, pemilihannya sebagai calon baharu GPS tidak pernah dijangka, lebih-lebih lagi apabila ramai individu lain turut menawarkan diri untuk mewakili kerusi berkenaan.
Beliau menganggap pencalonan itu bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya tanggungjawabt besar terhadap masyarakat dan masa depan pembangunan Beting Maro.
“Pencalonan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai satu penghormatan dan amanah besar kepada saya.
“Saya melihat pencalonan ini bukan sekadar penghormatan tetapi satu amanah yang berat yang harus saya pikul untuk kawasan Beting Maro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Anak jati Beting Maro yang dilahirkan di Pusa itu turut meletakkan pembangunan kawasan berkenaan sebagai antara keutamaan sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Menurutnya, Beting Maro yang merupakan kawasan pedalaman masih memerlukan perhatian dari segi pembangunan bagi memastikan penduduk setempat turut menikmati kemudahan yang lebih baik dan pembangunan seimbang seperti kawasan bandar.
“Lebih-lebih lagi Beting Maro memang kawasan pedalaman dan saya akan mendukung apa juga pembangunan yang dibawa, kita akan bersama-sama bergerak untuk membangunkan kawasan pedalaman,” katanya.
Dalam pada itu, Nashfarini berharap penduduk memberikan sokongan kepadanya sebagai calon baharu GPS, selain menyasarkan kemenangan besar pada pilihan raya akan datang.
Beliau menggantikan penyandang kerusi DUN Beting Maro, Datuk Razaili Gapor, yang tidak mempertahankan kerusi berkenaan selepas berkhidmat selama tiga penggal sejak 2011.



