Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN – Kerajaan Pahang menyalurkan RM4,495,159.86 kepada 6,290 penerima menerusi Tabung Malapetaka Daerah (TMD) bagi tempoh 2022 hingga Oktober 2026.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap daerah menerima peruntukan apungan RM50,000 setahun bagi membolehkan bantuan disalurkan segera tanpa menunggu kelulusan baharu.
“Tabung ini adalah komponen di bawah Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang. Ia memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana selain banjir,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu kerajaan negeri memperuntukkan RM5.1 juta bagi empat kategori bantuan iaitu ribut, kebakaran, kematian dan bencana lain termasuk tanah runtuh, rumah dihempap pokok dan lemas.
Sekiranya peruntukan tidak mencukupi, Jawatankuasa Pengurusan TMD boleh memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri.



