
MIRI – Seni dan kebudayaan bukan sahaja berperanan memelihara warisan masyarakat, malah menjadi jambatan perpaduan serta mampu memperkukuh sektor pelancongan di bandar raya ini.
Pengerusi Biro Veteran Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Zuraidah Suboh yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, keunikan budaya dan kepelbagaian masyarakat tempatan menjadi kekuatan penting dalam memperkaya daya tarikan Miri sebagai destinasi pelancongan.
Menurut beliau, kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan adat resam di Sarawak merupakan keistimewaan yang perlu terus dipelihara kerana berupaya menyatukan masyarakat tanpa mengira agama serta latar belakang.
Katanya, penganjuran Hari Seni dan Kebudayaan Medan Saberkas Miri 2026 pada 1 November lepas menjadi platform bermakna untuk meraikan warisan masyarakat selain mengeratkan perpaduan komuniti setempat.
“Sarawak amat bertuah kerana memiliki kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan adat resam. Melalui seni, makanan, muzik dan tradisi, kita dapat mengenali serta memahami antara satu sama lain dengan lebih dekat.
“Semangat perpaduan seperti inilah yang perlu terus kita pelihara,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan penganjuran berskala lebih besar dan meriah, sekali gus menjadikan seni serta kebudayaan antara tarikan pelancongan berasaskan komuniti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan projek penambahbaikan kemudahan Tamu Medan Saberkas yang membabitkan peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan diteruskan pada 2027.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah memulakan proses pelantikan kontraktor pada Oktober lepas, namun pelaksanaan projek berkenaan dibawa ke tahun hadapan bagi melengkapkan prosedur kewangan kerajaan serta urusan berkaitan di pihak MBM.
Katanya, perkembangan projek itu akan terus dipantau bersama KUSKOP dan MBM bagi memastikan usaha meningkatkan kemudahan serta keselesaan penjaja, peniaga dan pengunjung dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Medan Saberkas bukan sekadar tempat untuk berniaga, tetapi juga merupakan pusat aktiviti ekonomi komuniti yang memberi manfaat kepada ramai penjaja dan peniaga kecil tempatan.
“Kita mahu Medan Saberkas terus berkembang sebagai lokasi perniagaan yang aktif serta ruang komuniti yang lebih selesa dan menarik untuk dikunjungi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Penjaja Medan Saberkas Miri, Abdul Rahman Jawawi serta seluruh jawatankuasa penganjur atas usaha dan komitmen mereka menjayakan program berkenaan.



