
PUTRAJAYA – Ibu bapa diwajibkan hadir ke sekolah bagi menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 untuk setiap murid tahun depan sebagai usaha meningkatkan penglibatan mereka dalam pendidikan anak-anak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyerahan bantuan itu secara bersemuka juga memberi peluang kepada ibu bapa mengenali persekitaran sekolah, selain berinteraksi secara langsung dengan guru yang mendidik anak mereka.
Beliau berkata, bantuan berkenaan tidak seharusnya diserahkan ke rumah kerana kehadiran ibu bapa ke sekolah penting bagi membina hubungan lebih erat antara keluarga dengan pihak sekolah.
“Kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tak serah wang itu ke rumah kerana kita nak ibu bapa tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat.
“Dia harus tahu yang membantu mendidik anak-anak mereka itu ialah guru dan kalau tak datang ke sekolah, (Menteri Pendidikan, Datuk Seri) Fadhlina (Sidek), jangan bagi wang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalannya, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Anwar berkata, pihak sekolah boleh menganjurkan program khas sempena penyerahan bantuan itu bagi membolehkan guru, murid dan ibu bapa berkumpul serta berinteraksi.
Katanya, pertemuan berkenaan juga membolehkan guru memaklumkan kepada ibu bapa mengenai perkembangan pembelajaran, tingkah laku dan disiplin anak-anak sepanjang berada di sekolah.
Beliau menegaskan tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah kerana ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin dan sahsiah anak-anak.
“Jangan serahkan semua kepada sekolah. Ibu bapa juga harus ditegur demi tanggungjawab,” katanya.
Perdana Menteri berkata, matlamat pendidikan bukan hanya untuk melahirkan individu yang cemerlang dalam penguasaan ilmu dan kepintaran, malah membentuk insan berakhlak, berdisiplin serta memiliki keperibadian terpuji.



