
KOTA KINABALU – Khazanah seni dan budaya Sabah perlu terus dipelihara, diperkasa serta diperkenalkan ke peringkat antarabangsa bagi memastikan warisan unik negeri ini tidak hilang ditelan arus perubahan zaman.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kepelbagaian etnik, bahasa, adat resam, tradisi dan khazanah budaya merupakan kekuatan yang perlu dihargai serta diwariskan kepada generasi akan datang.
“Usaha mendokumentasikan, mengkaji, mempersembahkan dan memperkenalkan khazanah seni budaya Sabah kepada masyarakat antarabangsa perlu dipergiatkan.
“Kita tidak mahu khazanah yang menjadi kebanggaan masyarakat hanya kekal sebagai kenangan, sebaliknya perlu terus hidup melalui pendidikan, penyelidikan, pengkaryaan dan inovasi,”
“Setiap satunya membawa sejarah, pengalaman dan pandangan hidup masyarakat yang membentuk identiti negeri ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih dalam Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK) 2026 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Rabu.
Menurutnya, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti UMS mempunyai peranan penting bukan sahaja sebagai pusat penyebaran ilmu, malah menjadi pemangkin kepada perkembangan pemikiran kreatif, penyelidikan seni dan pemerkasaan budaya tempatan.
“Industri kreatif mempunyai potensi besar sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.
“Melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri komited menyokong pembangunan modal insan yang bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai daya kreativiti serta inovasi yang tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menegaskan kemajuan kecerdasan buatan (AI), media digital, teknologi audio visual dan platform komunikasi baharu perlu dimanfaatkan tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan, keaslian karya serta identiti budaya.
“Saya percaya bahawa kekuatan seni terletak pada keupayaannya menyentuh pemikiran dan perasaan manusia. Teknologi pula menyediakan ruang dan kaedah baharu untuk memperluas pengalaman serta penyampaian karya tersebut.
“Oleh itu, hubungan antara seni dan teknologi perlu dibangunkan secara seimbang,” ujarnya.
Pada majlis berkenaan, UMS turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas Sebelas Maret, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran kepakaran, pembangunan program akademik serta penghasilan karya kreatif secara bersama.
Turut hadir, Pemegang Kursi Rumpun Bajau Samah UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, Profesor Kolonel (K) Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi (Universiti Malaya) dan Profesor Dr. Sahid Teguh Widodo daripada Universitas Sebelas Maret, Surakarta, Indonesia.



