
KOTA KINABALU – Orang ramai, khususnya golongan peniaga di Sabah, diingatkan supaya menyalurkan pembayaran zakat kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atau pihak yang diberi kuasa kerana pembayaran kepada individu atau organisasi yang tidak dilantik boleh menjadi satu kesalahan.
Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata, perkara itu tertakluk kepada enakmen pengurusan zakat di Sabah, selain Majlis Fatwa Sabah yang menetapkan pembayaran zakat kepada pihak tidak diamanahkan atau dilantik MUIS tidak diterima dari sudut syarak.
“Orang ramai perlu lebih berhati-hati susulan maklumat bahawa terdapat pihak tertentu berada di Sabah bagi mengutip zakat tanpa kebenaran MUIS.
“Kami difahamkan mereka sedang berada di Sabah untuk mengutip zakat tanpa kebenaran Majlis Ugama Islam Sabah. Ini menjadi satu kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima pembayaran zakat perniagaan daripada McDonald’s berjumlah RM100,000 bagi Tahun 2026, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut tindakan terhadap pihak yang menjalankan kutipan zakat tanpa kebenaran, beliau berkata MUIS ketika ini mengutamakan pendekatan dakwah dan memberi kesedaran kepada masyarakat sebelum mengambil tindakan undang-undang.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pembayar zakat, khususnya golongan peniaga, memahami kedudukan serta saluran pembayaran zakat yang ditetapkan di Sabah.
“Kadang-kadang kalau kita ambil tindakan terus melalui undang-undang secara agresif, memang wajar juga, tetapi biarlah kita berikan kesedaran dulu.
“Usaha memberi penerangan menerusi media dan saluran lain turut membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga mengenai kepentingan menyalurkan zakat melalui saluran yang sah,”kongsinya.
Dalam pada itu, beliau berkata MUIS merancang memperluas projek pembinaan rumah asnaf ke seluruh Sabah menerusi kerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bermula tahun depan.
Katanya, dua rumah asnaf baru-baru ini dirasmikan di kawasan Membakut menerusi kerjasama MUIS dengan pemimpin ADUN setempat.
Menerusi pendekatan itu, kos pembinaan rumah ditanggung bersama dengan 50 peratus pembiayaan daripada dana zakat MUIS, manakala baki 50 peratus disediakan melalui peruntukan ADUN.
“Insya-Allah, jadi kita akan tawarkan kepada setiap ADUN yang ada di Sabah ini.
“Pendekatan itu memberi pilihan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan kediaman berbanding bantuan bulanan antara RM300 hingga RM400,” ujarnya.



