
KUANTAN – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dicetuskan sejak 2016 berjaya diteruskan merentasi lima pentadbiran Perdana Menteri dan tiga Yang di-Pertuan Agong sebelum mencapai kemajuan hampir 99 peratus ketika ini.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada pemimpin terdahulu atas peranan mereka memastikan projek itu disiapkan.
“ECRL ini telah diilhamkan daripada tahun 2016 oleh pemimpin terdahulu khususnya mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kemudiannya diteruskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sehingga kini Datuk Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda, lapor Berita Harian.
Baginda bertitah demikian pada majlis pembukaan Stesen ECRL KotaSAS di sini, hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, menghubungkan Kota Bharu dengan Lembah Klang.
Fasa Satu sepanjang 520 km yang kini hampir siap menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak, manakala Fasa Dua menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang dan dijangka beroperasi pada Januari 2028.
Al-Sultan Abdullah bertitah, ECRL pernah berdepan ketidaktentuan selepas pertukaran kerajaan pada 2018 apabila timbul desas-desus projek itu mungkin dikaji semula.
“Saya juga telah memainkan peranan setakat mana yang saya telah buat supaya projek ini diteruskan dengan sebaik-baiknya,” titah baginda.
Baginda bertitah, usaha semua pihak membolehkan ECRL mencapai kemajuan hampir 99 peratus, malah pelaksanaannya kini bergerak lebih cepat berbanding jadual ditetapkan.
“Ramai tetamu dari Pahang begitu senyum dan bersyukur kerana inilah satu hari yang kita menanti-nanti,” titah baginda.


