Amizar Abu Adam
KUANTAN – Sebanyak 1,733 kes kecurian buah sawit dilaporkan di kawasan tanah rancangan FELDA di Pahang dari 2023 hingga 2026, membabitkan 3,013.46 tan buah bernilai RM2.29 juta.
Perkara itu dimaklumkan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam di Dewan Undangan Negeri Pahang, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Shahril Azman Abd Halim berhubung kecurian hasil di tiga Wilayah FELDA iaitu Kuantan, Jengka dan Mempaga yang merangkumi 115 rancangan.
Amizar berkata, Wilayah Jengka merekodkan kes tertinggi dengan 1,473 kes membabitkan 2,361.89 tan buah bernilai RM1.47 juta, diikuti Kuantan dengan 197 kes membabitkan 522.94 tan bernilai RM302,587.21 dan Mempaga dengan 63 kes membabitkan 128.63 tan bernilai RM520,148.22.
“Pengurusan Rancangan FELDA mengakui ketirisan atau kecurian hasil berlaku dan mungkin masih berlaku, namun pelbagai tindakan proaktif diambil bagi membanterasnya bagi mengelakkan kerugian kepada peneroka dan FELDA.
“Antara langkah dilaksanakan di Wilayah Jengka terutama di Daerah Maran ialah kawalan dan rondaan ladang oleh FELDA Security Services Sdn Bhd (FGVSSSB) di FELDA Jengka 23, Sungai Tekam, Jengka 19 dan Jengka 20.
“Selain itu, pemasangan ‘drop gate’ di rancangan bawah kompleks Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) Jengka 21 yang merangkumi Jengka 12, 13, 14, 21, 22, 23, 24 dan 25 melalui dana JPPK, serta kawalan dan rondaan oleh masyarakat setempat seperti di FELDA Jengka 21,” katanya.
Amizar memaklumkan, kerjasama turut dijalinkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa kepada tangkapan di FELDA Sungai Retang, Jengka 19 dan Bukit Tajau, selain kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi penimbang bersebelahan rancangan yang membeli buah peneroka FELDA di FELDA Sungai Retang.
Katanya, PDRM juga mengemukakan cadangan langkah pencegahan dan penguatkuasaan termasuk operasi bersepadu berasaskan risikan secara berkala dan mengejut di kawasan kerap berlaku kecurian.
Jelasnya lagi, pemeriksaan bersama pusat timbang dan premis yang disyaki membeli buah tanpa lesen, semakan rantaian jualan buah, pengesahan sumber dan rekod pembelian, kawalan akses di kawasan FELDA, pemantauan mengikut waktu dan lokasi berisiko serta saluran maklumat dan laporan segera.
“Mekanisme penyelarasan perkongsian maklumat dan pemantauan bersama antara PDRM, MPOB dan FELDA turut dicadangkan diwujudkan atau diperkukuh bagi menilai lokasi tumpuan, mengenal pasti corak kejadian dan menyelaras tindakan terhadap premis atau individu yang disyaki, dipantau melalui jumlah kes, tangkapan dan pemeriksaan berkala premis termasuk pusat timbang haram,” katanya.



