
KOTA KINABALU – Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) bukan sekadar platform kerjasama ekonomi, malah menjadi jambatan penting dalam menghubungkan masyarakat serta memperkukuh hubungan persahabatan di rantau ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joachim Gunsalam berkata, kerjasama serantau turut berkembang melalui hubungan erat masyarakat yang berkongsi pengalaman serta memupuk rasa saling menghargai budaya dan komuniti masing-masing.
“Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah mengalu-alukan kehadiran kontinjen dari Brunei Darussalam, Malaysia dan Filipina ke temasya berkenaan.
“Walaupun rakan-rakan dari Indonesia tidak dapat menyertai temasya kali ini, namun berharap penyertaan mereka dapat diteruskan pada pertemuan akan datang.
“Temasya sukan itu bukan sekadar medan untuk atlet bersaing dan merebut pingat, tetapi turut menjadi platform mengeratkan hubungan serta membina persahabatan merentasi sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Sukan Persahabatan BIMP-EAGA 2026 Ke-12 di Magellan Sutera, Kota Kinabalu, malam Isnin.

Menurut Joachim, semangat muhibah, setiakawan dan saling menghormati merupakan elemen yang menjadikan temasya berkenaan lebih bermakna dan berkekalan.
Dalam pada itu, Joachim menasihatkan para atlet supaya bersaing dengan penuh semangat dan kebanggaan, selain sentiasa menjunjung tinggi semangat kesukanan.
“Ketika berusaha mencapai kecemerlangan, ingatlah bahawa pesaing anda juga merupakan jiran dan sahabat anda.
“Saya berharap setiap peserta bukan sahaja membawa pulang kejayaan dalam pertandingan, malah kenangan indah serta persahabatan yang berkekalan.
“Saya turut mengajak semua kontinjen menjadikan temasya itu sebagai sambutan persahabatan sebenar dengan bersaing penuh keazaman, saling menghormati dan memperkukuh hubungan serantau,” katanya.



