
KUANTAN – Kerajaan Pahang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri, membabitkan peruntukan keseluruhan RM58 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu akan dibayar dalam dua fasa, pada Januari dan Jun 2027.
“Segala dedikasi, pengorbanan dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan amat saya hargai,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2027 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan khas perayaan sebanyak RM1,500 bagi membantu penjawat awam Pahang membuat persiapan menyambut Aidilfitri, dengan peruntukan RM12 juta.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.6 juta bagi menghargai dan memperkasa sektor media, seni, kebudayaan serta warisan.
Daripada jumlah itu, RM300,000 disediakan sebagai sumbangan kepada pengamal media di Pahang, manakala RM300,000 lagi untuk Program Karya Anak Pahang dan Dana Media Kreatif.
Bagi mengembangkan seni dan warisan tempatan, RM2 juta diperuntukkan bagi Fiesta Tun Teja Aspirasi Anak Muda Pahang 1st dan masing-masing RM1 juta bagi Festival Bot Pahang 1st dan Program Future Leader Aspirasi Pahang 1st.



