SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Datuk Ismail Lasim meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar yang disandang sejak 2 Ogos lalu.
Ismail turut menyatakan ikrar untuk mempertahankan kedudukan Tuanku Muhriz serta tidak membenarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kedaulatan, kuasa dan keistimewaan baginda.
“Pertama, saya menegaskan tanpa berbelah bahagi ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kekal bersemayam sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
“Yang kedua, saya tidak akan melakukan dan tidak akan membenarkan dilakukan oleh mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri, jabatan, agensi atau pegawai kerajaan negeri atau apa-apa perbuatan yang mengurangkan, merampas, mengetepikan atau menjejaskan kedaulatan jawatan prerogratif kuasa atau keistimewaan baginda.
“Yang ketiga, saya menegaskan tanpa berbelah bahagi bahawa proklamasi yang dikeluarkan pada 19 April 2026, adalah tidak sah, tidak mempunyai apa-apa kesan dan tidak akan diwartakan,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, pada Jumaat.
Beliau turut menjelaskan kedudukan tiga Undang Luak, iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau, berdasarkan ketetapan serta adat luak masing-masing.
“Yang keempat, saya akur bahawa Haji Mubarak bin Dohak, Haji Maarof bin Haji Rashad, masing-masing telah terhenti daripada memegang jawatan Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Jelebu menurut adat luak, masing-masing bertarikh yang terpakai baginya dan bahawa Haji Abu Rahim bin Haji Yasin tidak pernah dilantik secara sah sebagai Undang Luak Rembau menurut adat yang dikehendaki dan pelantikan beliau tidak pernah disempurnakan melalui istiadat dizahirkan kerja diundang.
“Oleh demikian, tiada seorang pun daripada mereka tersebut di atas mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan apa-apa kuasa di bawah perkara 10 undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.

Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap, Seremban pada jam 10.17 pagi bagi menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut yang melanda negeri itu.
Turut hadir di istana berkenaan ialah Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi.
Pada Isnin lalu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.



