
KUALA SELANGOR – Fenomena air pasang besar yang diramalkan berlaku dari 23 hingga 27 November ini di negeri ini perlu persiapan segera terutamanya di kawasan berisiko, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Hal itu susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai hujan lebih kerap sebelum peralihan fasa air pasang mati kepada air pasang besar minggu depan.
“Keutamaan kita sekarang ialah mempercepat operasi mengepam air dari kawasan kediaman dan memantau keadaan sungai serta paras air laut.
“Hujan yang lebih kerap dijangka berlaku sehingga 21 November, manakala fenomena air pasang besar diramalkan pada 23 hingga 27 November. Saya mahu persiapan menghadapi kedua-dua keadaan ini diteliti segera agar keadaan tidak bertambah buruk,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela di sini malam tadi.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada 377 mangsa banjir dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dan Jeram yang ditempatkan di PPS berkenaan, khususnya kediaman sekitar Parit Mahang.
Amirudin berkata, ban sungai di Parit Mahang yang berlarutan hampir dua minggu itu didapati dipecahkan sebanyak dua kali oleh pihak tidak bertanggungjawab meskipun kerja penampalan awal telah dilakukan.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat berhubung pencerobohan rizab sungai itu dan individu yang disyaki terlibat sudah ditahan bagi membantu siasatan.
Kerja penampalan semula ban serta penambahan pam air turut sedang giat dilaksanakan bagi mempercepat proses air surut.
Terdahulu, Amirudin menyantuni 157 mangsa daripada 42 keluarga di PPS SK Sungai Binjai, Meru yang dibuka buat kali pertama tahun ini, berbanding sekurang-kurangnya dua hingga empat kali setahun pada tahun sebelumnya.


