
KUALA LUMPUR – Sebanyak 83,090 permohonan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) diluluskan daripada keseluruhan 210,579 permohonan yang diterima sejak program itu diperkenalkan pada 2002.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah permohonan yang diluluskan itu, sebanyak 82,283 rumah telah siap dibina dan diserahkan kepada penerima, manakala 807 lagi masih dalam pembinaan.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM500 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi pelaksanaan program berkenaan, merangkumi RM472.37 juta untuk kos pembinaan rumah dan RM27.63 juta bagi pembayaran kadar keuntungan bank program perumahan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).
“Seiring dengan peningkatan peruntukan tersebut, sasaran pembinaan juga dipertingkat kepada 6,823 unit berbanding sebelum ini hanya 6,545 unit, iaitu peningkatan sebanyak 4.2 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Aiman Athirah berkata, KPKT menerima 214 permohonan peruntukan bagi membiayai kerja pembaikan dan penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) strata bertingkat serta rumah kos rendah awam, khususnya melibatkan kerosakan yang boleh mengancam keselamatan penghuni.
Bagaimanapun, dengan peruntukan RM47.25 juta bagi penyelenggaraan PPR pada 2027, kementerian akan menilai setiap permohonan secara teliti dan mengutamakan kerosakan yang memerlukan tindakan segera.
“Antara aspek yang diberi keutamaan ialah kerosakan lif, bumbung, tangki air, sistem retikulasi, paip sanitari, pendawaian elektrik serta harta bersama, terutama PPR yang berusia lebih 10 tahun,” katanya.



