
SANDAKAN – Tiga individu dijatuhi hukuman penjara sebulan setiap seorang, manakala enam lagi didenda keseluruhan RM20,600 atas kesalahan berkaitan sambungan elektrik haram dan penggunaan elektrik secara curang di Sandakan.
Kesemua sembilan kes itu diputuskan di Mahkamah Sesyen Sandakan pada 18 November lalu di hadapan Hakim Mohd Khushairy Ibrahim mengikut Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Tiga individu yang dikenakan hukuman penjara ialah Bilma Kasim, Norsan Dekeh dan Emeng Lajim kerana melakukan sambungan elektrik secara haram di penempatan setinggan Kampung (Kg) Kagayan.
Kesalahan itu dilakukan mengikut subseksyen 61(3)(a) enakmen berkenaan.
Dalam kes berasingan di kawasan sama, Nurita Anggongan dan Jeselna Jani masing-masing didenda RM2,500, manakala Amil Maulana dan Alradzmil Jalseddik masing-masing dikenakan denda RM2,800.
Nurita dan Alradzmil yang merupakan pemegang dokumen IMM13 turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia di Sandakan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Chau Tsun Lun dan Chong Pui Yii masing-masing didenda RM5,000 kerana menggunakan elektrik secara curang di kediaman mereka di Taman Astana Height.
Kedua-dua kes itu melibatkan kesalahan mengikut subseksyen 61(3)(c) enakmen sama dan semua denda yang dikenakan telah dibayar.
Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Energy Commission of Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie.
Dalam kenyataan pada Jumaat, ECoS memaklumkan pihaknya memandang serius kesalahan berkaitan bekalan elektrik kerana perbuatan itu boleh membahayakan orang awam serta menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna lain.
Menurutnya, ECoS akan terus mempergiat penguatkuasaan dan mengambil tindakan pendakwaan terhadap pihak yang melanggar undang-undang bekalan elektrik di Sabah.
Sehubungan itu, orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan sambungan elektrik secara haram, mengusik meter atau pepasangan elektrik serta menggunakan bekalan elektrik tanpa kebenaran.

