
MIRI – Tibin Sidu yang berhasrat bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 meneruskan pendekatan santai bersama masyarakat menerusi aktiviti kemasyarakatan di sekitar Senadin, Tudan dan Permyjaya.
Menerusi inisiatif bertemakan “Dekat di Hati, Teguh Berbakti”, beliau mengadakan pertemuan serta sesi ramah mesra bersama rakan dan kenalan dalam suasana santai sempena hujung minggu.
Aktiviti berkenaan menjadi ruang kepada Tibin untuk berinteraksi secara bersemuka, bertukar pandangan serta mengikuti perkembangan semasa masyarakat di kawasan tersebut.
Selain pertemuan bersama komuniti, beliau turut memenuhi jemputan majlis perkahwinan sebagai sebahagian daripada penglibatannya dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan setempat.
Pendekatan itu turut memberikan peluang kepada beliau untuk mendengar pandangan penduduk serta memahami keperluan masyarakat melalui interaksi secara langsung.
Penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan berkenaan juga selaras dengan hasrat Tibin untuk terus mengekalkan hubungan serta komunikasi bersama penduduk di kawasan Senadin dan sekitarnya.
Terdahulu, Tibin dilaporkan menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi DUN Senadin pada PRN Sarawak ke-13.
Beliau turut memaklumkan bahawa dorongan daripada rakan serta masyarakat setempat menjadi antara faktor yang mendorongnya untuk menawarkan diri bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember 2026.



