
BELAGA – Cadangan kerajaan Sarawak untuk mengkaji penambahan bahagian pentadbiran baharu disambut baik dengan harapan daerah Belaga turut diberikan pertimbangan berdasarkan keperluan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, langkah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meminta Setiausaha Kerajaan Sarawak menjalankan kajian berhubung perkara itu merupakan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh sistem pentadbiran negeri.
Menurutnya, inisiatif tersebut berpotensi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang berdepan cabaran dari segi jarak serta kemudahan perhubungan.
Sehubungan itu, beliau berharap Belaga turut dimasukkan dalam skop kajian berkenaan memandangkan cadangan menaik taraf daerah tersebut menjadi bahagian pentadbiran tersendiri telah lama disuarakan oleh masyarakat setempat.
“Penubuhan Bahagian Belaga berpotensi mendekatkan pentadbiran kerajaan kepada rakyat, mempercepatkan urusan pembangunan dan meningkatkan penyelarasan perkhidmatan awam di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Abun Sui yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang berkata, Belaga mempunyai kawasan pedalaman yang luas, termasuk penempatan masyarakat di Sungai Asap, Bakun, Murum dan kawasan sekitarnya.
Jelasnya, faktor keluasan kawasan, taburan penduduk serta cabaran akses kepada kemudahan kerajaan wajar diberikan perhatian dalam menilai kesesuaian sesuatu daerah untuk dinaik taraf.
“Beberapa kajian perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keperluan pembangunan, kedudukan geografi, kemudahan perhubungan serta kepentingan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” ujar Abun.
Dalam pada itu, Abun Sui turut menyuarakan harapan agar aspirasi masyarakat Belaga yang telah lama mengemukakan cadangan tersebut dapat dipertimbangkan dalam perancangan pentadbiran negeri.
“Pendekatan penilaian yang menyeluruh mampu membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar setiap kawasan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai penambahan bahagian pentadbiran,” jelas beliau.
Beliau turut menyifatkan usaha Kerajaan Sarawak meneliti penyusunan semula bahagian pentadbiran sebagai langkah yang berpotensi memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan menaik taraf Belaga dapat dinilai bersama kawasan lain berdasarkan kepentingan rakyat dan keperluan pembangunan setempat.
Terdahulu, Abang Johari dilaporkan meminta Setiausaha Kerajaan Sarawak mengkaji cadangan menaik taraf Lawas sebagai bahagian pentadbiran baharu dengan mengambil kira kedudukan serta fungsi Bahagian Limbang.
Cadangan berkenaan masih di peringkat kajian sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat oleh kerajaan Sarawak.



