KUALA LUMPUR – Kerjasama China dan negara Asia Tenggara dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta transformasi digital perlu diperluas menerusi penyelidikan dan inovasi bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha itu penting bagi memastikan kemajuan teknologi terus berpaksikan etika, kebertanggungjawaban dan maruah insan.
Beliau berkata, ruang kerjasama serta hak setiap negara menentukan haluan pembangunan sendiri juga perlu dipertahankan ketika berdepan persaingan kuasa besar yang semakin sengit.
“Saya juga menggesa supaya China dan negara Asia Tenggara memperluas kerjasama dalam kecerdasan buatan dan transformasi digital menerusi penyelidikan serta inovasi bersama.
“Kemajuan teknologi mesti terus berpaksikan etika, kebertanggungjawaban dan maruah insan.
“Berpandu pada Wawasan Putrajaya 2040, Malaysia akan terus menjalin hubungan konstruktif dengan semua rakan demi membina Asia Pasifik yang terbuka, berdaya tahan dan aman.
“Ukuran sebenar kemajuan ialah peluang yang terbuka dan perubahan yang dirasai dalam kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berucap ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026 yang menggariskan gagasan keterbukaan ekonomi secara saksama untuk Asia Pasifik.
Anwar tiba di Shenzhen, China malam tadi bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-33.

