
PAPAR – Perjalanan seorang kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) ke tempat kerja berakhir tragedi apabila lelaki berkenaan maut dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Papar–Beaufort, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa berumur 46 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Papar menuju ke Membakut.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan itu turut membabitkan sebuah kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti.
“Pemeriksaan awal mendapati motosikal mangsa mengalami kerosakan pada bahagian belakang.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk menentukan sama ada mangsa terbabas sendiri atau dilanggar kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Papar.
“Pihak polis sedang mengesan kenderaan yang dipercayai terbabit serta mengumpul keterangan saksi bebas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada di sekitar lokasi kejadian pada waktu berkenaan diminta tampil membantu pihak polis.” katanya.
Tambah Heryan, maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman menerusi talian 016-8813880.



