KLANG – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkukuhkan kerjasama hospital dengan klinik kesihatan (KK) berhampiran bagi menangani isu kesesakan, parkir dan kekurangan katil pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada KK dalam radius 10 kilometer dari hospital besar.
“Kita ada 152 hospital dan 2,617 KK di seluruh negara. Kita mahu KK berperanan mengurangkan pesakit ke hospital, dengan mewujudkan satu kumpulan pegawai perubatan pakar di hospital berhampiran dihantar memberi rawatan kepada pesakit di KK,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Dzulkefly berkata demikian selepas lawatan kerja ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes biasa dan tidak kritikal selepas ini boleh dirujuk ke KK tanpa perlu ke hospital, manakala doktor pakar dari klinik pakar hospital akan ke KK berkenaan.
Langkah itu turut membolehkan pesakit mengambil ubat tertentu di KK tanpa perlu ke hospital, sekali gus mengurangkan beban perjalanan dan waktu menunggu.
Sementara itu, Dzulkefly mencadangkan tempoh konsesi parkir HTAR dilanjutkan dari 12 kepada 15 tahun bagi membolehkan kadar caj dikurangkan hingga separuh harga, bagi meringankan beban pesakit dan waris, khususnya golongan B40.
HTAR yang mempunyai 2,100 lot parkir kini menambah 72 lot parkir mekanikal yang sudah 90 peratus siap.
Dalam perkembangan lain, KKM meluluskan peruntukan segera RM2.5 juta bagi memperkukuhkan keselamatan, kapasiti dan kelancaran aliran pesakit di HTAR.
Peruntukan itu merangkumi projek fizikal RM1.59 juta iaitu naik taraf sistem pengurusan giliran di Kompleks Rawatan Harian bernilai RM750,000, sistem kamera litar tertutup di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (RM350,000), serta auditorium dan bilik mesyuarat (RM485,000).
Dzulkefly berkata, Hospital Kapar dijangka mula beroperasi sekitar Jun 2027 secara berperingkat bagi menyuraikan kesesakan di HTAR secara jangka panjang.
Setakat 20 Oktober lalu, kemajuan fizikal projek berkenaan berada pada tahap 96.26 peratus mengikut jadual, dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan HTAR sekitar 20 hingga 25 peratus.


