
LUMUT – Semangat kekeluargaan, kesepaduan dan komitmen untuk mencapai matlamat bersama menjadi teras kekuatan warga Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Tengah menerusi penganjuran Team Building Zon Tengah di Pangkor Village, Pulau Pangkor di sini, selama tiga hari.
Pengarah JKOM Zon Tengah, Noorisah Hakim berkata, program berkenaan bukan sekadar platform untuk warga organisasi berehat daripada rutin tugasan harian, sebaliknya menjadi ruang mempererat hubungan, membina persefahaman dan menyemarakkan semangat kerja berpasukan.
“Kita mungkin penat sepanjang menjalani aktiviti, tetapi gelak tawa dan semangat yang ditunjukkan membuktikan bahawa kita bukan sekadar rakan sekerja, sebaliknya sebuah keluarga yang saling menyokong dan melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Team Building Zon Tengah di Pangkor Village, Pulau Pangkor.

Menurut Noorisah, kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada keupayaan individu melaksanakan tanggungjawab masing-masing, tetapi turut diperkukuh menerusi kesatuan hati, kerjasama dan kesediaan semua anggota bergerak seiring dalam mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Apa yang paling penting ialah semangat kita untuk terus bersama, saling membantu dan bergerak sebagai satu pasukan.
“Apabila kita mempunyai satu semangat dan satu matlamat, setiap cabaran akan dapat dihadapi dengan lebih baik,” katanya.

Mengangkat semangat One Team, One Spirit, One Goal, retreat berkenaan menjadi medan memperkukuh hubungan profesional dan peribadi dalam kalangan warga JKOM Zon Tengah menerusi aktiviti pembinaan pasukan yang menggalakkan interaksi, kerjasama serta persefahaman.
Suasana penuh ceria, gelak tawa dan penglibatan aktif peserta sepanjang program turut mencerminkan usaha membina pasukan yang lebih akrab, harmoni dan saling mempercayai.
Beliau turut berharap semangat kebersamaan yang dibentuk sepanjang retreat itu tidak terhenti sebaik program berakhir, sebaliknya diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas harian demi memastikan setiap amanah dapat digalas dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.
“Kita mahu semangat ini terus dibawa pulang dan diterapkan dalam budaya kerja.
“JKOM Zon Tengah bukan sekadar satu pasukan, tetapi sebuah keluarga yang berkongsi semangat, kekuatan dan matlamat yang sama,” katanya.
Retreat berkenaan sekali gus menjadi suntikan motivasi kepada seluruh warga JKOM Zon Tengah untuk terus memperkukuh kesepaduan organisasi, meningkatkan kerjasama dan melangkah ke hadapan sebagai satu pasukan yang utuh.


