
TAWAU – Hampir separuh daripada 60 hingga 80 kes kanser payudara dikesan sejak beberapa tahun lalu melibatkan pesakit yang pertama kali didiagnosis dengan sebahagiannya sudah berada pada tahap ketiga penyakit itu.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, keadaan itu menunjukkan masih ramai wanita lewat menjalani pemeriksaan awal sehingga menyebabkan penyakit berkenaan hanya dikesan ketika sudah berada pada tahap lebih serius.
“Apabila didiagnosis, mereka sudah berada pada tahap ketiga, sekali gus melambatkan lagi proses rawatan.
“Sehingga hari ini, kita masih menerima maklum balas bahawa ramai wanita melambat-lambatkan pemeriksaan awal dan kedatangan ke hospital, termasuk menangguhkan temu janji yang telah ditetapkan,” katanya kepada media selepas merasmikan program ‘Breast Cancer Awareness’ di Auditorium Hospital Tawau, pada Rabu.

Dalam pada itu, Rina yang juga ADUN Kukusan tidak menafikan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan pemeriksaan awal itu ialah stigma menakutkan terhadap penyakit kanser payudara dan alternatif melalui rawatan atau perubatan kampung.
“Bagi saya, pendekatan perubatan alternatif terpulang kepada kepercayaan dan keyakinan masing-masing.
“Namun, akhirnya perkara ini menjadi tanggungjawab kita sendiri, sama ada kita benar-benar melaksanakan usaha terbaik bagi memastikan rawatan kesihatan yang diambil memberi impak dan keputusan yang betul kepada tubuh badan kita.
“Jadi, sekiranya kita ingin mengambil pendekatan alternatif, saya mencadangkan supaya kita turut mengambil kira semua jenis perubatan agar benar-benar bersedia dan sudah melaksanakan usaha terbaik untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rina berkata, Kerajaan Sabah sentiasa bersedia dengan program-program kesedaran kanser payudara dan ia dilaksanakan secara konsisten setiap tahun selain mempunyai sistem sokongan yang sangat meluas.
Katanya, usaha itu termasuklah saringan percuma di klinik kesihatan bandar dan kawasan kampung serta pelaksanaan program ‘outreach’ hospital dengan turun ke kawasan luar bandar untuk mengadakan program terbabit.
“Begitu juga dengan sistem rumah transit yang baru-baru ini dilancarkan iaitu The Pink Heaven, yang menyediakan kemudahan akses bagi membantu pesakit dari luar kawasan seperti Tawau, Sandakan dan sebagainya apabila datang ke Kota Kinabalu untuk menjalani rawatan kanser payudara.
“Apa yang penting ialah kita masih memerlukan rakyat, khususnya golongan wanita, supaya lebih berani tampil menjalani pemeriksaan.
“Kita sebagai individu, suami dan ahli keluarga juga perlu menggalakkan isteri, adik-beradik perempuan serta kakak kita supaya berani tampil menjalani pemeriksaan,” jelasnya.
Rina turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan promosi produk yang dipercayai melekakan sehingga mengabaikan rawatan perubatan sebenar.
Justeru, beliau menyeru agar masyarakat lebih peka terhadap pengambilan produk kesihatan dan memastikan penggunaannya mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


