Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sedang meneroka penerbitan sukuk terjamin kerajaan pertama dalam bentuk tokenisasi di bawah program bernilai RM19.05 bilion bagi menyokong pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Inisiatif itu menyusul pemeteraian surat hasrat (LOI) dengan CIMB Investment Bank Bhd (CIMB) yang dilantik sebagai pengatur utama tunggal bagi cadangan penerbitan berkenaan.
Menurut laporan Berita Harian, cadangan yang masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia itu mencerminkan usaha MRL meneroka pendekatan pembiayaan infrastruktur baharu menerusi teknologi kewangan digital.
Jika dilaksanakan, MRL bakal menjadi entiti pertama di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan penerbit sukuk infrastruktur terjamin kerajaan pertama di Malaysia yang melaksanakan penerbitan sukuk tokenisasi.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kerjasama dengan CIMB berpotensi menawarkan penyelesaian transaksi lebih pantas, meningkatkan pengurusan kecairan serta memperkukuh ketelusan dan kecekapan pergerakan dana bagi pembiayaan infrastruktur rel negara.
Beliau berkata, ECRL yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang berada pada landasan untuk memulakan operasi komersial pada 12 Disember 2026.
“ECRL akan berfungsi sebagai mod pengangkutan hijau bagi penumpang dan kargo menerusi rangkaian rel elektrik, selain melengkapi sistem pengangkutan rel bersepadu negara,” katanya selepas majlis pemeteraian LOI yang disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, Malaysia perlu terus meneroka potensi teknologi dalam pembangunan pasaran kewangan dengan memanfaatkan kekuatan negara dalam kewangan Islam, selain mengekalkan standard tadbir urus, ketelusan dan perlindungan pelabur.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin pula berkata, kerjasama itu membuka peluang meneroka potensi teknologi tokenisasi dalam pembiayaan infrastruktur, tanpa mengetepikan aspek tadbir urus, perlindungan pelabur dan pematuhan Syariah.
“Tokenisasi aset berpotensi membuka peluang pelaburan lebih luas serta mewujudkan pasaran kewangan yang lebih inklusif dan cekap,” katanya

