
PARTI Amanah Negara (Amanah) tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kuasa politik, sebaliknya akan terus mempertahankan keadilan, integriti dan kedaulatan undang-undang.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kemenangan dalam pilihan raya tidak semestinya menggambarkan kejayaan sesuatu perjuangan, khususnya apabila kemenangan diperoleh melalui eksploitasi sentimen kaum, agama dan ketakutan rakyat.
“Saya menerima keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dengan hati terbuka. Dalam sebuah negara demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk memilih siapa yang mereka mahu sebagai pemerintah. Kita mungkin tidak bersetuju dengan pilihan tersebut, tetapi kita kena menerimanya.
“Namun, kita perlu membezakan antara kemenangan dalam pilihan raya dengan kemenangan sesuatu perjuangan.
“Ada parti yang menang kerana kekuatan dasar dan kepimpinannya. Tetapi ada yang menang kerana berjaya membangkitkan ketakutan, memainkan sentimen kaum dan mengeksploitasi perasaan rakyat.
“Persoalannya, sampai bilakah politik seperti ini boleh bertahan?” soalnya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata, perkembangan politik antarabangsa, khususnya di Amerika Syarikat, menunjukkan bahawa sentimen kaum dan agama bukan sesuatu yang semestinya kekal sebagai faktor penentu sokongan rakyat.
Katanya, masyarakat akan semakin matang dan mula menilai pemimpin berdasarkan keupayaan mentadbir, kejujuran, integriti serta kemampuan menyelesaikan masalah rakyat.
Mengulas politik di Malaysia, Mohamad berkata, perjuangan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan martabat Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya disalahgunakan untuk melindungi pemimpin yang melakukan kesalahan.
Beliau menegaskan, mempertahankan bangsa tidak bermakna seseorang perlu mempertahankan setiap tindakan pemimpin daripada bangsa yang sama, terutama apabila melibatkan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau merujuk beberapa kes melibatkan bekas Menteri Besar, termasuk Datuk Harun Idris, Dr Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, sebagai peringatan bahawa jawatan dan kedudukan tidak sepatutnya menjadi perlindungan daripada tindakan undang-undang.

Beliau menegaskan, Amanah dan Pakatan Harapan perlu terus membuktikan bahawa politik berasaskan keadilan, integriti dan khidmat kepada rakyat merupakan pilihan yang lebih baik.
“Kuasa hanyalah alat untuk melaksanakan amanah. Ia bukan tujuan yang menghalalkan segala cara.
“Kita boleh kehilangan jawatan. Kita boleh kalah dalam pilihan raya. Tetapi apabila kita mengorbankan prinsip untuk mendapatkan kuasa, ketika itulah kita sebenarnya telah kalah dalam perjuangan,” katanya.
Mohamad yakin rakyat akhirnya akan semakin bijak membezakan pemimpin yang benar-benar berkhidmat dengan mereka yang hanya mempergunakan sentimen untuk memperoleh kuasa.



