
SARATOK – Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengacukan sebilah keris ke arah bapa saudaranya gara-gara berang apabila permintaan wang tambahan RM50 tidak dipenuhi dalam kejadian di Awik, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila suspek mengamuk selepas mangsa enggan memberikan wang tambahan berkenaan meskipun telah menyerahkan RM30 sebelum itu.
Menurutnya, suspek bertindak mengugut untuk mencederakan mangsa menggunakan keris, selain merosakkan beberapa barangan di dalam rumah.
“Suspek kemudian mengacukan keris ke arah mangsa sambil mengugut untuk mencederakannya.
“Dia turut merosakkan meja sofa dan suis elektrik rumah mangsa menggunakan senjata berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Susulan kejadian, Mathew berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok menahan suspek kira-kira jam 10.15 pagi pada Isnin.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
“Polis turut merampas sebilah keris berukuran 18 sentimeter berserta sarung,” katanya.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati apabila mangsa enggan memberikan wang tambahan yang disyaki untuk membeli dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta khianat.



