Jurgen Klopp
PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, wajar digantikan kerana dia menjadikan badan induk bola sepak dunia itu lebih teruk berbanding ketika diterajui bekas presidennya yang tercemar dengan skandal, Sepp Blatter, kata jurulatih Jerman, Jurgen Klopp.
Klopp berkata keadaan di FIFA berpotensi lebih buruk berbanding era Blatter yang meletakkan jawatan susulan skandal rasuah sebelum berdepan pertuduhan jenayah.
“Pandangan semua pihak adalah sebulat suara bahawa perubahan adalah sesuatu yang wajar dilakukan.
“Saya tidak menyangka keadaan boleh menjadi lebih buruk selepas Sepp Blatter, tetapi ada seseorang yang berjaya melakukannya,” kata Klopp pada sidang media.
Infantino, yang berasal dari Switzerland, dipilih sebagai Presiden FIFA pada 2016 selepas skandal rasuah menamatkan era kepimpinan Blatter.
Blatter kemudian dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes jenayah di Switzerland berhubung pembayaran sebanyak dua juta franc Switzerland kepada bekas Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah, Michel Platini.
“Ketika ini, kami berpendapat jika Infantino berundur, penggantinya mungkin mampu melakukan tugas dengan lebih baik. Saya percaya keadaan masih boleh diperbaiki.
“Sudah tentu ada individu di luar sana yang benar-benar mengambil berat mengenai masa depan bola sepak dan tidak mempunyai kepentingan kewangan berkaitan dengannya.
“Jika mereka bergabung dan salah seorang daripada mereka dilantik sebagai presiden, ia pasti membantu,” kata Klopp.
Infantino yang akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan semula pada Mac 2027 dan sudah berikrar untuk terus memegang jawatan itu, menerima kritikan hebat pada Julai lalu selepas percubaan membawa masuk pelabur swasta ke dalam entiti komersial baharu FIFA gagal.
Entiti berkenaan dirancang untuk menguruskan hak komersial yang berkaitan dengan beberapa pertandingan, termasuk Piala Dunia.



