
TUARAN – Kerajaan Sabah kekal komited memperkasa golongan wanita termasuk suri rumah dalam pelbagai aspek menerusi pembangunan ekonomi, sosial serta kepimpinan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu bagi memastikan mereka terus memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah.
“Saya tidak pernah melupakan peranan golongan wanita. Mereka merangkumi separuh daripada jumlah pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
“Pengundi wanita menjadi antara faktor kejayaan saya mewakili kawasan Sulaman selama sembilan penggal sejak 1990,” katanya ketika menyampaikan bantuan peralatan dapur kepada golongan suri rumah di kawasan DUN Sulaman, di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini, pada Ahad.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, sebagai usaha menghargai peranan serta sumbangan golongan wanita di kawasannya, beliau memperuntukkan sebanyak RM500,000 setiap tahun masing-masing bagi golongan wanita dan belia untuk menyokong pelaksanaan program di DUN terbabit.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkasa wanita di seluruh Sabah menerusi pelbagai program kerajaan negeri, termasuk bantuan di bawah program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi meringankan beban kewangan golongan B40, keluarga berpendapatan rendah dan suri rumah.
“Sebagai contoh, di Tuaran, daripada kira-kira 10,000 penerima SYUKUR, lebih 3,000 daripadanya adalah dari Sulaman.
“Tahun lalu, bantuan SYUKUR berjumlah RM300 sebulan dan wanita yang layak turut menerima manfaat.
“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai kerajaan negeri untuk terus memastikan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Jelas Hajiji, antara komponen terpenting dalam hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) ialah kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menyediakan bantuan bulanan RM200 kepada 140,000 golongan kurang berkemampuan pada tahun ini.
“Dalam tempoh lima tahun, jumlah penerima Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am juga meningkat kepada hampir 70,000 penerima.
“Perkara ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Hanya kerajaan yang saya pimpin, GRS dan parti-parti komponennya melaksanakan inisiatif seumpama ini,” tambahnya.
Hajiji turut menyeru seluruh kepimpinan GRS supaya mengutamakan perjuangan parti dan terus memperkukuh gabungan itu bagi memastikan GRS kekal menerajui Kerajaan Negeri Sabah.
Terdahulu, program anjuran Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran itu menyaksikan seramai 1,000 suri rumah menerima bantuan peralatan dapur.



