
KUCHING – Kejelasan dasar pembangunan, kestabilan politik serta keupayaan melahirkan tenaga kerja berkemahiran menjadi antara faktor utama yang menarik minat pelabur untuk meneroka potensi ekonomi Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pembangunan negeri yang mampu meningkatkan keyakinan pelabur.
“Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri menerusi dasar pembangunan yang jelas, kesepakatan politik, pembangunan modal insan serta sumber tenaga yang berpotensi menyokong pertumbuhan pelbagai sektor industri,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan negeri dalam membangunkan sektor tenaga boleh baharu juga memperlihatkan usaha awal Sarawak meneroka bidang ekonomi yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh perkembangan pelaburan yang diumumkan pada 9 November lalu sebagai antara contoh potensi ekonomi negeri.
“SoftBank Group, Grab dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengumumkan perjanjian pembangunan bersama melibatkan cadangan modal permulaan keseluruhan AS$1.85 bilion (RM7.5 bilion) bagi pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Daripada jumlah tersebut, cadangan pelaburan awal sebanyak AS$1 bilion (RM4.07 bilion) melibatkan projek infrastruktur AI di Sarawak, yang dirancang untuk dibangunkan secara berperingkat.
Sementara itu, Fadillah berpandangan kekuatan ekonomi Sarawak turut berkait rapat dengan kestabilan pentadbiran yang membolehkan dasar dan perancangan pembangunan dilaksanakan secara berterusan.
“Pencapaian serta usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri perlu diterangkan kepada masyarakat supaya rakyat dapat memahami hala tuju ekonomi Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh jentera PBB supaya terus mendekati masyarakat dan menyampaikan maklumat berkaitan dasar serta pencapaian kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pada masa sama, Fadillah turut menekankan kepentingan memperkukuh kesepakatan dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti bagi menghadapi cabaran pembangunan serta landskap politik semasa.


