
KINABATANGAN – Usaha memperkasa warisan budaya dan mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti terus diberi perhatian menerusi penganjuran Festival Gelingos 2026 di Dataran Tamu Sukau, di sini, yang berlangsung sejak Jumaat hingga Ahad.
Bertemakan ‘Mengalir Bersama Sungai, Menyatu Bersama Komuniti’ , festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) itu mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi masyarakat Sungai di Kinabatangan.
MOTAC dalam kenyataannya memaklumkan, Gelingos yang bermaksud ‘ziarah’ membawa mesej tradisi kunjung-mengunjung dan semangat gotong-royong, selain mengangkat peranan sungai sebagai nadi kehidupan masyarakat setempat.
“Lebih daripada sebuah perayaan, festival ini menjadi wadah untuk menghayati warisan, mempererat hubungan komuniti dan mengetengahkan masyarakat setempat melalui kebudayaan dan pelancongan.
“Antara pengisian yang disediakan sepanjang festival termasuklah perarakan budaya, persembahan kesenian, pameran dan jualan produk tempatan, pertandingan mewarna dan busana tradisional, ‘Battle of the Band’, ‘Gelingos Got Talent’ serta Kenduri,” menurut kenyataan itu, pada Sabtu.
Tambah MOTAC, pengisian program turut memberi ruang kepada generasi muda dan pengunjung untuk mengenali serta menghayati warisan tempatan.
“Pada masa sama, festival berkenaan membuka peluang ekonomi kepada penggiat seni, usahawan kecil, pengusaha inap desa dan komuniti setempat, sekali gus memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti.
“Sokongan MOTAC terhadap penganjuran festival itu juga mencerminkan komitmen kementerian dalam memelihara dan memulihara warisan budaya serta menggalakkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam agenda pelancongan, seni dan budaya negara.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan komuniti setempat menjadi tunjang dalam memastikan warisan berkenaan terus dihargai, diamalkan dan diwariskan kepada generasi akan datang,” ujar kenyataan sama.
Jelas MOTAC, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Festival Gelingos 2026 mengetengahkan budaya dan komuniti sebagai teras pembangunan pelancongan, selain memanfaatkan keunikan kehidupan masyarakat Sukau sebagai tarikan kepada pengunjung.
Majlis perasmian festival itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.


