
TUARAN – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bukan sekadar bertujuan membentuk kesempurnaan kawad, sebaliknya menjadi platform membina jati diri, disiplin, ketahanan mental serta kematangan pemikiran dalam kalangan generasi muda.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, kesungguhan, disiplin dan perubahan positif yang ditunjukkan peserta sepanjang latihan merupakan antara kejayaan utama program berkenaan.
“Tujuan latihan ini bukan sekadar diukur melalui kesempurnaan kawat tetapi melalui pembentukan sikap serta kematangan pemikiran yang dibawa pulang.
“Hari ini merupakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar terhadap diri, masyarakat dan negara.
“Dalam dunia yang semakin mencabar generasi muda bukan saja memerlukan ilmu malah perlu mempunyai jati diri yang kukuh ketahanan mental, kestabilan emosi dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 PLKN 3.0 di Pusat Latihan RELA Negeri Sabah (PLRNS), di sini, pada Isnin.
Menurutnya, sepanjang menjalani latihan di kem, peserta telah dididik untuk mematuhi jadual, bekerjasama dan mengurus diri dengan baik, sekali gus membentuk ketahanan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
“Ketahanan sebenarnya bukan bermaksud kita tidak pernah jatuh, tetapi kekuatan untuk bangkit semula setiap kali diuji,” kongsinya.
Jonathan berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 selari dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk membangunkan Malaysia yang maju dan bersatu padu, disokong rakyat berilmu serta berintegriti.
Katanya, kemajuan negara bukan hanya bergantung kepada ekonomi dan teknologi, tetapi turut ditentukan oleh kualiti rakyatnya, khususnya dalam melahirkan golongan belia yang mampu menjadi pemimpin matang dan berakhlak.
“Pemimpin sebenar bukan semata-mata mereka yang memegang jawatan tinggi, tetapi mereka yang mampu memimpin diri, menunaikan amanah dan berani mempertahankan kebenaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan peserta supaya menjadikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya sebagai kekuatan negara, bukannya alasan untuk berpecah, selain terus menghormati undang-undang, menjaga kemudahan awam dan menyuburkan budaya kesukarelawanan.
Beliau turut menggesa peserta agar tidak membiarkan pengalaman di kem sekadar menjadi kenangan, sebaliknya menjadikan disiplin sebagai amalan, integriti sebagai pegangan, patriotisme sebagai semangat dan perpaduan sebagai kekuatan dalam kehidupan seharian.
Mengulas pelaksanaan PLKN 3.0, Jonathan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen berkata, pihaknya berbangga kerana program berkenaan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang insiden besar sepanjang siri latihan berlangsung.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara, komandan, jurulatih, pegawai, anggota sokongan serta seluruh warga PLRNS atas komitmen dan kesungguhan mendidik serta menjaga kebajikan peserta sebelum merasmikan penutupan Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026.


