
KUALA LUMPUR – Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Program, Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Yosri Abu Mahsin meninggal dunia pagi tadi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta kenalan Allahyarham atas pemergian itu.
Menurut Fahmi, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak sebelum bertugas di Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat, Kementerian Komunikasi.
Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatan, Allahyarham telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.
“Dukacita menerima satu lagi khabar pemergian warga Kementerian Komunikasi.
“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beramal soleh,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Fahmi turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.


