
KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan diplomatik yang terbuka dalam menjalin hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan mengutamakan kepentingan ekonomi, keselamatan serta kedaulatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Malaysia mempunyai perbezaan pendirian dengan AS dalam beberapa isu antarabangsa, termasuk penindasan rakyat Palestin di Gaza, hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara itu perlu terus dipelihara.
“Kita setuju tak dengan dasar dia? Banyak kita tak setuju. Dia izinkan penindasan dan penganiayaan penjajahan ke atas Palestin dan Gaza. Beberapa dasar dia, negara-negara Teluk dan Arab, itu tidak adil.
“Tetapi Amerika Syarikat itu nombor satu pelabur di Malaysia. Nombor satu rakan dagang dengan Malaysia.
“Jadi kalau kadang-kadang saya dengar orang kata, mesti tegas, mesti lawan. Yalah, aku lawan tak apa. Tapi yang hilang kerja ini puluh ribu orang. Beratus ribu orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara di sini, hari ini.

Mengulas hubungan dengan China, Anwar berkata, Malaysia turut mengekalkan hubungan persahabatan yang baik dengan negara itu menerusi pendekatan diplomatik yang telah dimulakan sejak era kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Katanya, hubungan baik dengan Beijing penting memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang mempunyai kepentingan strategik, termasuk isu sempadan di Laut China Selatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang perbezaan pendirian atau pertikaian sempadan perlu ditangani menerusi rundingan dan pendekatan damai tanpa mengorbankan ketegasan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Menurutnya, Malaysia tidak berhasrat menjadikan mana-mana negara sebagai musuh, sebaliknya perlu bijak mengurus hubungan antarabangsa bagi memastikan kepentingan nasional sentiasa terpelihara.
Anwar berkata, pendekatan diplomasi dan persahabatan dengan negara lain juga perlu diseimbangkan dengan keupayaan mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.

