
KUALA LUMPUR – Perjuangan sebenar kerajaan adalah memastikan hak semua rakyat Malaysia terpelihara tanpa mengira kaum, selain membina negara yang makmur dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat parti politik atau persatuan yang sering menggunakan isu kepentingan kaum sebagai naratif perjuangan tetapi pada masa sama menutup mata terhadap kegiatan penipuan dan rasuah.
“Negara ini tertegak dengan prinsip yang mesti aman, mesti jayakan hak semua rakyat Malaysia. Ini mesej penting kerana naratif sekarang ialah kalau pergi mana-mana, orang kata Anwar, ‘you must adjust, the policies mesti Malay dominant’, Saya jawab ‘I want to survive as leader to the country’.
“Tiada siapa pertikai Bahasa Melayu, hak orang Islam. Kita mesti jamin semua kaum, setiap rakyat Malaysia. Negara ini punya kekuatan dan khazanah yang banyak. Negara ini patut memakmurkan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan di Little India, Brickfields di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, terdapat pihak yang sengaja memainkan sentimen perkauman bagi mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu rasuah dan penipuan.
“Sesetengah kalangan, persatuan atau parti hanya mencungkil isu kaum untuk padam isu rasuah.
“Dia bincang survival kepentingan kaum, dia padam isu penipuan dan rasuah. Dia bangkitkan isu kaum, dalam masa sama, dia perdayakan.
“Lihat tokoh yang bicara soal survival kaum, mereka itu antara yang paling kaya dalam kalangan kita. Perjuangan itu perjuangan untuk memperkaya diri dan keluarga mereka,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat bahawa perjuangan menegakkan kebenaran memerlukan ketabahan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Hidup ini ada pasang surutnya, tapi stay strong, kerana akhirnya kemenangan itu berada di pihak yang benar,” katanya.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk Seri N Gobalakhrisnan.

