
TAWAU – Usaha mewujudkan lebih banyak pili bomba di kawasan berisiko tinggi khususnya penempatan atas air dan kawasan setinggan akan menjadi antara agenda utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, pada tahun hadapan.
Beliau berkata, usaha itu bertujuan memudahkan penduduk mendapatkan sumber air bagi membantu memadamkan kebakaran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
“Saya telah berbincang dengan Pengarah Bomba Negeri dan Penguasa Bomba Tawau bagi membantu merealisasikan usaha mewujudkan lebih banyak pili bomba terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
“Kita akan mendapatkan pandangan pihak bomba untuk mengenal pasti lokasi yang paling sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kempen Sehari bersama Bomba Komuniti, Skuad Bomba, Suri dan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Kg Inderasabah di Padang Kampung Inderasabah, pada Sabtu.

Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah turut menyatakan kesediaan menggunakan peruntukan ADUN Apas bagi membina pili bomba di kawasan berisiko tinggi sekiranya kos pembinaannya bersesuaian.
“Kawasan DUN Apas mempunyai lapan pusat daerah mengundi dengan beberapa kampung dikenal pasti berdepan risiko kebakaran, terutama penempatan yang dibina rapat di kawasan pesisir pantai.
“Bagi penempatan di kawasan pesisir laut, kita akan berbincang dengan pihak bomba untuk mengenal pasti kaedah terbaik mendapatkan sumber air serta lokasi sesuai bagi pembinaan pili tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nizam berharap agar program selama dua hari yang berakhir pada Sabtu itu memberi pendidikan dan latihan kepada komuniti kampung termasuk institusi pendidikan mengenai tanggungjawab mereka dalam menghadapi sebarang kemungkinan musibah kebakaran.
“Terima kasih kepada bomba Sabah dan anggota bomba dari Tawau atas penerangan dan latihan mengenai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kejadian kebakaran merebak,” jelasnya.
Untuk rekod, seramai 50 peserta Bomba Komuniti Kampung Inderasabah telah mengikuti kursus selama lapan jam bagi melengkapkan pengetahuan dan kemahiran sebelum ditauliahkan secara rasmi.
Turut hadir, Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz.



