
PUSA – Seramai 331 penduduk kawasan Beting Maro menerima pengiktirafan pemilikan tanah menerusi penyerahan Surat Hak Milik Tanah (SHT) Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) membabitkan 471 lot seluas kira-kira 330.17 hektar.
Penyerahan itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penyerahan SHT di Dewan Komuniti Kampung Pusa, di sini, Jumaat.
Awang Tengah berkata, pengiktirafan hak terhadap Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terus menjadi komitmen Kerajaan Sarawak bagi memastikan pemilikan tanah masyarakat yang layak dapat disahkan berdasarkan bukti kukuh serta peruntukan undang-undang.
“Pendekatan pengukuran lebih teratur dan telus, termasuk kaedah pengukuran secara individu, menjadi antara usaha kerajaan negeri mempercepatkan proses pengeluaran surat hak milik kepada penduduk,” katanya.

Beliau turut menyeru Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan membantu penduduk rumah panjang serta kampung tradisional mengemukakan permohonan berkaitan tanah NCR bagi memudahkan proses pengiktirafan hak berkenaan.
“Pemilikan tanah yang sah bukan sahaja memberi jaminan keselamatan kepada pemilik, malah membolehkan tanah dimanfaatkan untuk kepentingan jangka panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr. Moris Nayup berkata, penyerahan berkenaan merupakan majlis keenam bagi tahun ini, menggambarkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat serta mengiktiraf hak pemilikan tanah.
Beliau berkata, Jabatan Tanah dan Survei akan terus menambah baik proses pengukuran serta penyampaian maklumat kepada masyarakat bagi meningkatkan kecekapan urusan berkaitan tanah.


