KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pagi tadi berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah, meskipun suhu politik negara dilihat semakin panas ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, turun naik suhu politik adalah perkara biasa, terutama ketika musim pilihan raya, namun ia tidak sesekali menjejaskan fokus kerajaan terhadap isu pembangunan negara dan kebajikan rakyat.
“Bila ada pilihan raya, suhunya naik sekejap, kemudian turun balik. Tetapi mesyuarat tadi, biasa dan tidak saya kesan apa-apa masalah,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, mesyuarat tersebut turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama-sama barisan Menteri.
Perbincangan, tertumpu sepenuhnya kepada agenda pembangunan dan kemudahan rakyat.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, tidak hadir susulan peletakan jawatannya.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri hadir, Menteri-Menteri hadir dan perbincangan kita fokus mengenai pembangunan dan kemudahan rakyat,” katanya.


