MACHAP JAYA – Tidak boleh menggunakan internet, berhubung dengan media atau terbabit dalam aktiviti politik antara syarat yang perlu dipatuhi Datuk Seri Najib Razak sepanjang menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memberi amaran, sebarang pelanggaran boleh menyebabkan Najib dihantar semula ke Penjara Kajang untuk meneruskan baki hukumannya.
“Ya, (Najib) boleh duduk bersama isteri, anak-anaknya, menantu-menantunya, cucu-cucunya tapi tak boleh pakai internet.
“Jadi, saya ditugaskan untuk memastikan tidak berlaku pelanggaran syarat. Kalau langgar, terus dihantar balik ke Penjara Kajang,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, malam tadi.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat memaklumkan Najib tertakluk kepada empat kategori syarat utama yang ditetapkan Lembaga Pengampunan menerusi pengampunan bersyarat pada 18 September lalu.
Empat kategori itu merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan serta lawatan, sekatan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi, selain kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.
Selain itu, Najib turut dilarang membuat kenyataan atau ulasan kepada media, menggunakan platform media sosial, menghadiri majlis keramaian atau terbabit dalam aktiviti politik.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu membenarkan Najib, 73, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.


