HANG TUAH JAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan pendiriannya untuk kekal meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, namun keputusan itu tidak menjejaskan sokongan parti berkenaan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, 40 Ahli Parlimen DAP termasuk dirinya kekal menyokong Anwar dan menolak sebarang tanggapan bahawa peletakan jawatannya mencerminkan keretakan dalam kerajaan.
“Saya letak jawatan sebagai menteri, tetapi saya bukan menarik sokongan kepada Datuk Seri Anwar. Saya dan DAP kekal menyokong Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.
“40 Ahli Parlimen tetap kukuh, tetap tegas memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar. Saya letak jawatan untuk menyatakan pendirian kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PH), di sini, selepas Anwar pada pentas sama menyatakan hasrat untuk berunding semula dengannya berhubung keputusan berkenaan.
Anthony berkata, keputusan meletakkan jawatan itu selaras dengan pendirian yang sudah dinyatakannya lebih awal sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
“Perkara ini sudah saya umumkan hampir tujuh minggu sebelum ini. Saya kata, Najib balik rumah, saya satu minit pun takkan tunggu, terus berkuat kuasa.
“Saya cakap saya akan buat, saya akan buat. Ini soal kita cakap serupa bikin,” katanya.
Anthony mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah, Selasa lalu.
Mengulas dakwaan tindakan itu tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, beliau menegaskan pendirian DAP ditujukan khusus terhadap isu Najib dan bukannya institusi Diraja.
“Saya hendak tegaskan ini bukan soal tidak hormat kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita hormat kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi ini adalah pendirian terhadap Najib, bukannya berkenaan dengan Agong, tetapi berkenaan dengan Najib,” katanya.
Mengenai reaksi pemimpin UMNO terhadap keputusannya, Anthony berkata kenyataan yang dikeluarkan mereka dilihat bercanggah antara satu sama lain.
“Apabila saya letak jawatan ini, pendirian pemimpin UMNO Barisan Nasional (BN) bercelaru.
“Presiden cakap, ‘Saya rindu Anthony Loke ini, dia duduk sebelah saya. Saya ada prinsip pula. Tetapi timbalan presiden pula kata tindakan ini macam mencabar dan tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.


