MACHAP JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dirinya serba salah apabila dikritik berhubung tindakan membawa rayuan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ke Lembaga Pengampunan, sedangkan kegagalan berbuat demikian juga boleh mengundang kecaman.
Beliau berkata, tindakan membawa perkara itu ke Lembaga Pengampunan pada 2023 dibuat kerana setiap banduan mempunyai hak mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, beliau tidak mahu dilihat menafikan hak berkenaan hanya kerana individu terbabit ialah bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara.
“Kalau saya tak buat, saya kena. Kalau saya buat, saya kena. Ini apa dia? Kalau saya tak buat, tengok Anwar. Ada kuasa Datuk Najib nak rayu, dia bagi pertimbangan. Dia tak bagi pun Agong dengar. Salah juga.
“Saya panggil, bawa ke dalam mesyuarat. Tengok Anwar. Dia memang khianat, dia bagi pula kerana dia takut dengan UMNO. Salah juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, malam tadi.
Anwar menjelaskan, semua rayuan pengampunan yang dikemukakan banduan perlu dipertimbangkan berdasarkan dokumen dan maklumat berkaitan, termasuk laporan perubatan, Jabatan Penjara serta rekod kelakuan mereka.
Bagaimanapun beliau sendiri telah menyuarakan pandangan bahawa permohonan tahanan rumah bagi Najib mungkin belum sesuai dipertimbangkan ketika negara sedang berusaha memerangi rasuah kerana dikhuatiri memberi mesej yang salah kepada masyarakat.
“Untuk tahanan rumah, saya bagi pandangan. Saya kata mungkin masyarakat kita belum bersedia sebab kita perang lawan rasuah ini. Kita tak mahu bagi mesej yang salah.
“Tapi Tuanku yang betul, Agong kerana atas ihsan ini Tuanku telah menimbangkan semua faktor. Dia kata beri tahanan rumah. Kita patuh, kita patuh. Itu kuasa Agong, bukan kuasa Perdana Menteri,” katanya.
Mengulas kritikan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berhubung pelaksanaan titah berkaitan tahanan rumah Najib, Anwar menegaskan, tindakan mendapatkan pengesahan mahkamah perlu dilakukan sebelum keputusan berkenaan dilaksanakan.
Beliau turut mempertahankan Peguam Negara yang menjadi sasaran kecaman selepas mengambil masa untuk mendapatkan penjelasan mahkamah berhubung keputusan berkenaan.
“Peguam Negara kena maki hari Jumaat, Sabtu, Ahad, Isnin. Hari Selasa baru keluar berita rupanya mahkamah masa itu buat keputusan tak jelas dan salah. Perbetulkan,” katanya.



