
MIRI – Pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang melibatkan rancangan pelaburan bernilai berbilion dolar Amerika Syarikat (AS) mencerminkan keyakinan syarikat antarabangsa terhadap prospek ekonomi Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, perkembangan itu menunjukkan Malaysia terus menarik perhatian pelabur asing, khususnya dalam sektor teknologi dan industri bernilai tinggi.
Menurutnya, antara perkembangan terbaharu ialah rancangan pelaburan awal AS$1.85 bilion (RM7.53 bilion) oleh SoftBank Group dan Grab Holdings Limited bersama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bagi membangunkan infrastruktur AI di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, kerjasama menerusi perjanjian pembangunan bersama itu menetapkan sasaran jangka panjang kapasiti pengkomputeran AI sehingga lima gigawatt atau lebih.
Bagaimanapun, pelaburan yang dicadangkan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada pencapaian pembangunan projek, kontrak pelanggan dan syarat berkaitan.
Choon Man berkata, perkembangan tersebut turut disusuli pengumuman Google mengenai rancangan pelaburan AS$15 bilion (RM61.05 bilion) di Malaysia dalam tempoh dua tahun, iaitu dari 2027 hingga 2028.
Menurutnya, rancangan berkenaan melibatkan pembangunan kampus pusat data cekap tenaga di Selangor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, projek itu dijangka menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan setahun sepanjang fasa pembinaan, termasuk kira-kira 6,000 pekerjaan dalam sektor pembinaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Choon Man berkata, delegasi perniagaan China yang diketuai Pansy Ho turut menyatakan minat terhadap potensi pelaburan bernilai AS$15 bilion (RM61.05 bilion) di Malaysia.
Menurutnya, minat tersebut tertumpu kepada enam sektor utama yang merangkumi elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, bahan industri khusus dan kejuruteraan jitu, ekonomi digital dan infrastruktur teknologi, pemprosesan makanan dan produk halal, teknologi kesihatan dan farmaseutikal serta pelancongan.
Bagaimanapun, nilai berkenaan masih merupakan petunjuk minat awal pelaburan dan belum bermaksud keseluruhan dana telah dimuktamadkan atau disalurkan.
“Perkembangan ini mencerminkan keyakinan pelabur asing yang semakin meningkat terhadap Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan.
Choon Man berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberikan tumpuan kepada usaha menarik pelaburan asing dan memperluas peluang perniagaan sejak mengambil alih pentadbiran pada November 2022.
Beliau turut merujuk prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang berkembang 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.5 peratus pada 2023, sebelum mencatat pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025.
Menurutnya, momentum pertumbuhan ekonomi berterusan pada 2026 apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan pertumbuhan 5.7 peratus bagi separuh pertama tahun ini, termasuk 6.0 peratus pada suku kedua.
Dalam pada itu, beliau berkata, ringgit pernah mengukuh kepada sekitar RM3.89 berbanding dolar AS pada Februari lalu, sebelum melemah kepada sekitar RM4.15 pada Jun.
Katanya, CIMB Treasury and Markets Research menjangkakan mata wang negara berpotensi mengukuh menghampiri RM4.00 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.
Chiew berpandangan perkembangan pelaburan dan prestasi ekonomi berkenaan mencerminkan hasil usaha kerajaan melaksanakan reformasi ekonomi bagi memperkukuh daya tahan negara ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik global.
Beliau berharap Malaysia dapat mengekalkan momentum pertumbuhan dan menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor strategik yang mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta meningkatkan nilai ekonomi negara.
“Sebagai sebahagian daripada kerajaan MADANI, saya kekal komited untuk terus menyokong usaha bersama dalam memperkukuh ekonomi negara serta memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur antarabangsa,” katanya.


