Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR – Keputusan Peguam Negara ketika itu wajar kerana ada kekaburan dari segi kefahaman dokumen mahkamah oleh pihak pelaksana, iaitu Jabatan Peguam Negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu berkenaan timbul susulan kekaburan dalam memahami dokumen berkaitan pelepasan dan pembebasan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat perbezaan antara istilah discharge (pelepasan) dan release (pembebasan) yang perlu diberikan perhatian dalam memahami dokumen berkenaan.
“Pada pagi Jumaat, 6 hari bulan, wakil Datuk Seri Najib telah bayar RM50 juta kepada Jabatan Akauntan Negara. Kemudian pihak mahkamah kena keluarkan ‘order of discharge’ kepada kita. ‘Discharge’ maknanya lepas serta-merta. Penjara ni dia faham lepas dia tiada autoriti lagi lah.
“’Release’ lain, ‘discharge’ lain. Kalau saya berada di tempat Ketua Pengarah Penjara pun, keliru. Kerana kekeliruan itu, Peguam Negara perlu dirujuk, itu prosesnya, untuk kami pelaksana bukan pentafsir undang-undang.
“Jadi, apa mahkamah buat, membatalkan order 6 hari bulan, jika ia sempurna, tiada cacat, kenapa batal. Mahkamah kemudian mengeluarkan perintah baru iaitu tahanan rumah bersyarat, jelas.
“Jadi, hakikat, ada dua keputusan mahkamah, batalkan dan buat baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassa (PN-Kota Bharu) yang mendakwa tiada pelarasan antara jabatan hingga melambatkan proses tahanan rumah Najib selama empat hari.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha mendapatkan penjelasan berhubung sesuatu keputusan tidak seharusnya terus ditafsirkan sebagai tindakan ingkar atau derhaka terhadap institusi diraja.
“Kedudukan kita jelas, kita takkan ambil mudah soal kebimbangan, kemarahan rakyat terhadap isu ini.
“Tapi, kalau nak dikatakan bahawa kerana kita ambil masa untuk dapat penjelasan ini, kita dilabel ingkar, derhaka, melengah, tak bolehlah.
“Kita anggap begini kesetiaan kepada institusi raja tidaklah membawa makna kita ambil mudah persoalan undang-undang. Masa yang sama pertahan undang-undang tidak bermakna kita mempertikai institusi Raja, ia mesti seiring dengan demokrasi Raja Berperlembagaan,” katanya.
Ia selepas Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk menjalani baki hukuman penjara di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.



