Oleh: P Ruslan
KLEBANG – Isu pembangunan dan penyelenggaraan kawasan jeti didakwa tidak dilaksanakan secara seimbang antara dua bahagian sungai, menimbulkan persoalan mengenai layanan terhadap penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang sama.
Pesawah, Musa Arib, 66, berkata, keadaan itu memperlihatkan perbezaan ketara apabila terdapat kawasan tebing sungai yang dijaga dan dicantikkan, sedangkan kawasan di sebelahnya didakwa tidak menerima perhatian sewajarnya.
Menurutnya, keadaan tersebut lebih menghairankan apabila kedua-dua kawasan berkenaan berada di bawah wakil rakyat daripada parti yang sama iaitu Barisan Nasional (BN).
“Walaupun saya bukan seorang nelayan namun apa yang saya luahkan ini adalah permasalahan dari kawan-kawan nelayan. Bukan apa, akibat tebing di jeti tersebut sudah ramai yang telah tergelincir dan terjatuh ke sungai.
“Isu itu tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut pemilikan tanah persendirian kerana terdapat perkara berkaitan rizab sungai dan bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang perlu diperjelaskan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Katanya, kerajaan negeri sewajarnya mencari pendekatan penyelesaian yang mengambil kira kepentingan penduduk, khususnya golongan nelayan yang bergantung kepada kawasan sungai untuk menjalankan aktiviti harian.
“Kenapa tidak fikirkan soal nelayan di situ? Kita perlu lihat kepentingan mereka juga, bukan sekadar melihat kepada isu pemilikan tanah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada penyelenggaraan kawasan sungai dan kemudahan berkaitan telah diberikan perhatian secara menyeluruh, memandangkan kawasan tersebut turut menjadi tempat pergantungan masyarakat nelayan setempat.
Musa berkata, isu berkenaan perlu ditangani melalui penyelarasan pihak berkaitan supaya penduduk di kedua-dua bahagian sungai tidak terus berhadapan perbezaan dari segi kemudahan dan perhatian pembangunan.
