
KANGAR – Polis Perlis memperketat kawalan keselamatan dan mempertingkatkan risikan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand susulan kejadian letupan bom di daerah Thung Wa, wilayah Satun, selatan Thailand.
Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memastikan keselamatan negeri sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman.
Katanya, langkah berjaga-jaga itu memberi tumpuan kepada kawasan sempadan Perlis, khususnya pintu masuk utama negara yang menjadi laluan pergerakan antara kedua-dua negara.
“Polis Kontinjen Perlis memandang serius dan sentiasa berwaspada terhadap insiden keganasan di selatan Thailand, khususnya kejadian letupan bom di daerah Thung Wa, wilayah Satun yang bersempadan dengan Perlis.
“Susulan kejadian itu, arahan dikeluarkan kepada KPD dan PGA untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan serta risikan di sepanjang sempadan Perlis, khususnya di pintu masuk utama negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, pihaknya turut memperkukuh kerjasama dan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa Thailand bagi membolehkan sebarang potensi ancaman dikesan serta ditangani lebih awal.
Menurutnya, kerjasama rentas sempadan itu penting dalam memastikan sebarang perkembangan berkaitan keselamatan dapat dipantau secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Polis Kontinjen Perlis komited memastikan keselamatan negeri sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman,” katanya.
Terdahulu, beberapa insiden letupan bom dan serangan keganasan dilaporkan berlaku di selatan Thailand termasuk di wilayah Satun, Yala dan Songkhla.
Dalam kejadian di Thung Wa, tiga pelajar sekolah dilaporkan cedera selepas van yang dinaiki mereka terkena serpihan letupan bom.


