
KUALA LUMPUR – Semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen diwajibkan mengemukakan Pelan Keselamatan Dalam Talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selewat-lewatnya 28 Disember ini.
Kewajipan itu ditetapkan selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelan berkenaan perlu memperincikan langkah serta perancangan penambahbaikan yang akan dilaksanakan setiap penyedia platform bagi memastikan persekitaran digital lebih selamat kepada pengguna.
“Sekarang kita masih berada dalam tempoh peralihan dan kita jangka bahawa platform akan melaksanakan obligasi ini pada awal Januari tahun depan.
“Oleh sebab itu, semua data tentang berapa akaun yang mereka telah sahkan dan tutup, akan dihantar kepada kita selepas tempoh peralihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat berhubung tahap pematuhan platform media sosial terhadap mekanisme pengesahan umur.

Soalan itu turut menyentuh jumlah akaun yang telah disahkan dan disekat serta tindakan terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi kewajipan berkenaan.
Menurut Nie Ching, MCMC sudah mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan media sosial termasuk Meta, TikTok dan Google bagi memastikan mekanisme pengesahan umur dilaksanakan.
Katanya, MCMC juga mendapatkan maklumat berkaitan daripada platform terbabit bagi tujuan pemantauan serta penilaian tahap pematuhan terhadap keperluan ditetapkan.
Beliau menegaskan, penyedia perkhidmatan berlesen yang gagal mematuhi kewajipan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Kesalahan itu boleh membawa denda sehingga RM1 juta, selain denda tambahan maksimum RM100,000 sehari bagi kesalahan berterusan selepas sabitan.
Dalam pada itu, Nie Ching menjelaskan mekanisme pengesahan umur bagi pengguna media sosial berusia 16 tahun ke atas tidak membabitkan pengesahan identiti pengguna.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan mekanisme berkenaan tidak secara langsung menyelesaikan masalah akaun palsu dan ucapan kebencian.



