
SEPANG – Tiga bersaudara maut selepas disambar petir ketika berteduh di bawah pokok di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, mangsa merupakan seorang lelaki dewasa dan dua remaja, masing-masing berusia 26, 18 dan 16 tahun.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk menjalani bedah siasat.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berteduh di bawah pokok berikutan hujan selepas selesai membaiki sebuah kenderaan.
“Mangsa sebelum itu berteduh di bawah pokok disebabkan hujan sebelum disambar petir.
“Sebelum itu, ketiga-tiga mangsa berteduh di bawah pokok selepas membaiki sebuah kenderaan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan.
Terdahulu, beberapa klip video memaparkan kejadian itu tular di media sosial dengan menunjukkan tiga jasad yang ditutup menggunakan kain batik terbaring di bawah pokok.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa berada di lokasi kejadian selepas kereta yang dinaiki mereka mengalami kerosakan.


