
BUKIT RAMBAI – Had penggunaan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) disifatkan munasabah bagi kegunaan individu, sekali gus membantu mengesan kemungkinan penyalahgunaan subsidi.
Veteran tentera, Bakri Bakar berkata, langkah itu dilihat sebagai langkah penting kerajaan memastikan subsidi bahan api diberikan kepada golongan yang benar-benar berhak.
Menurutnya, mekanisme pembelian menggunakan MyKad bukan sahaja memberikan keutamaan kepada warganegara, malah membantu kerajaan mengawal penggunaan petrol bersubsidi daripada terus disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Minyak yang murah itu sepatutnya untuk orang macam kita, untuk rakyat Malaysia. Dulu macam-macam cara dibuat, tetapi ketirisan masih berlaku.
“Sebab itu saya lihat langkah ini bagus kerana kerajaan boleh mengawal penggunaan minyak dan memastikan subsidi sampai kepada rakyat,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Menurutnya, penggunaan melebihi had berkenaan wajar diberikan perhatian kerana mungkin terdapat tujuan lain, termasuk kegiatan perniagaan atau penyeludupan bahan api.
“Kalau macam saya, 300 liter memang tidak habis dalam tempoh sebulan. Kalau penggunaan tiba-tiba meningkat sehingga 400 atau 500 liter, mesti ada sesuatu yang tidak kena dan perkara itu perlu dilihat,” katanya.
“Jadi minyak itu yang murah, sepatutnya untuk orang macam kita, untuk rakyat Malaysia. Macam B40 untuk gunakan 95 tu kan? Jadi dulu macam-macam cara buat, tapi tak boleh,” katanya.


