
KOTA KINABALU – Kerjasama strategik antara Skuad Antidadah Sabah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pengamal media perlu terus diperkukuh bagi memperluas usaha pencegahan serta memerangi penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata, media memainkan peranan besar dalam menyampaikan mesej pencegahan dadah kepada masyarakat melalui pelbagai platform termasuk media cetak, elektronik dan media sosial.
“Dalam perjuangan memerangi dadah, AADK mempunyai kepakaran, Skuad Antidadah mempunyai kekuatan sukarelawan di lapangan, manakala media mempunyai kuasa untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat.
“Apabila ketiga-tiga kekuatan ini digabungkan, saya yakin mesej pencegahan dadah akan sampai lebih jauh, lebih luas dan lebih berkesan,” katanya semasa berucap dalam Majlis High Tea Skuad Antidadah Sabah dan AADK bersama rakan-rakan media, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Skuad Antidadah Sabah tidak seharusnya sekadar menjadi organisasi yang mengejar jawatan atau menghadiri program, sebaliknya perlu menjadi gerakan masyarakat yang aktif turun ke lapangan.
“Usaha mendekati masyarakat perlu diperluas ke kampung, sekolah, institusi pengajian tinggi, kawasan pedalaman dan komuniti anak muda menerusi pendekatan sukan, permotoran, kebudayaan, pendidikan serta keusahawanan.
“Untuk menyelamatkan anak muda daripada dadah, kita mesti terlebih dahulu mendekati dunia mereka, memahami minat mereka dan membimbing potensi mereka,” ujarnya.
Mengulas aspek pemulihan, Mazlan berkata, usaha memerangi dadah tidak bermaksud memusuhi individu yang terperangkap dalam penagihan kerana mereka masih mempunyai keluarga, masa depan dan peluang untuk berubah.
“Kita memerangi dadah, tetapi kita tidak memusuhi mereka yang terperangkap dalam penagihan. Jangan kita terlalu cepat menghukum seseorang berdasarkan masa silamnya.
“Berikan mereka peluang kedua untuk membina kehidupan yang lebih baik,” kongsinya.
Sehubungan itu, beliau berharap media turut mengetengahkan kisah kejayaan bekas penagih sebagai inspirasi kepada masyarakat serta menyebarkan maklumat tepat mengenai pencegahan dadah.
Beliau turut menyeru media memberikan pandangan dan teguran membina serta menegaskan usaha memerangi dadah merupakan tanggungjawab bersama.
“Kita mungkin tidak mampu menghapuskan ancaman dadah dalam satu hari, tetapi jika usaha kita hari ini berjaya menyelamatkan walaupun seorang anak muda daripada terjebak dengan dadah, itu sudah merupakan satu kejayaan yang cukup besar.
“Semua pihak terus berganding bahu dengan satu matlamat bersama, iaitu menyelamatkan generasi Sabah daripada ancaman dadah.
“Kita bukan sekadar memerangi dadah, kita sedang mempertahankan masa depan anak bangsa!,” tegasnya.



